My #QuranTime: Program Setiap Hari Berinteraksi dengan Al-Quran ke arah MengQURANkan Bangsa, MengIKHLASkan Ummah
Shah Alam , 2 Jun 2020 – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dan TV AlHijrah hari ini, melancarkan kerjasama untuk menerbitkan program televisyen baru, My #QuranTime setelah kejayaan Malaysia #QuranTime dengan misi Musa’adah COVID-19 di bawah naungan JAKIM, yang dilancarkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu dan telah mencatat hampir 1.6 juta tontonan di platform televisyen dan lebih 10 juta tontonan di facebook LIVE TV AlHijrah.
Siaran baru, My #QuranTime yang dianggarkan bakal mengambil tempoh hampir 3 tahun untuk khatam tadabbur 114 surah ini, akan mengekalkan pendekatan mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah baca, faham dan amal namun berbanding. Sebelum ini, #QuranTime hanya fokus kepada surah pilihan di dalam memberi sokongan dan solusi ke atas isu wabak COVID-19 yang berlaku. Kali ini penonton dan pelayar internet akan dibimbing untuk berinteraksi dengan al-Quran, dari halaman 1 hingga ke 604, halaman akhir, selama 1 jam setiap hari.
My #QuranTime akan bersiaran secara langsung bermula Isnin, 8 Jun 2020 bersamaan 16 Syawal 1441H di TV AlHijrah dan live streaming di FB TV AlHijrah, Sinar Harian dan QuranHour, setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari. Siaran ulangan ialah sebanyak 3 kali sehari di saluran sama, TV AlHijrah, bagi memberikan peluang kepada para penonton yang terlepas peluang ketika siaran langsung. Semua episod boleh ditonton juga di saluran YouTube QuranHour Channel.
Menurut Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub, yang merupakan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas merangkap Pengerusi TV AlHijrah, kerjasama antara WUI dan TV AlHijrah untuk membawakan al-Quran ketika PKP amat tepat pada waktunya dan telah mendapat bantuan daripada Allah SWT.
“Sejak tujuh tahun lalu, kami di Yayasan Warisan Ummah Ikhlas membawakan gerakan MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah ini dengan 3 inisiatif utama iaitu membina pusat pengajian al-Quran percuma di seluruh negara melalui Rumah Ngaji, melaksanakan kempen di peringkat negara dan dunia melalui #QuranHour dan membina jaringan Sahabah Al-Quran bagi mengubah ekosistem melalui perubahan kerangka fikir berlandaskan al-Quran di kalangan orang Islam agar lahir perilaku sebagai seorang Muslim sejati.
Matlamat kami adalah agar orang Islam kembali kepada al-Quran dan As-Sunnah. Alhamdulillah, tempoh PKP ini telah membuka peluang untuk kami memperkenalkan program #QuranTime. Melalui program #QuranTime di saluran 114 TV AlHijrah ini, matlamat kami agar umat Islam akan terdidik dan berubah dengan nilai-nilai yang diambil dari 114 surah ini semakin jelas Insya-Allah. Ayat-ayat al-Quran yang disampaikan dalam bentuk mudah dan santai ini insya-Allah akan menjadi khazanah kepada ummah sebagai panduan dalam menguruskan kehidupan terutamanya buat mereka yang baru ingin mengenal tadabbur dan tazakkur al-Quran,” ujar Hussamuddin.
WUI yang bertanggungjawab ke atas isi program My #QuranTime juga memperkenalkan bahagian Penyelidikan dan Pembangunan R&D (Konten) serta Kawalan Kualitinya bagi memantau pengisian program My #QuranTime sebelum dan semasa program berlangsung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff,
Kami berharap usaha penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran ini turut didukung dengan kerjasama pakar-pakar al-Quran dan as-Sunnah terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi, organisasi dan individu yang terlibat secara langsung dengan pengkajian ilmu al al-Quran dan as-Sunnah. Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang merujuk kepada tafsir-tafsir al Quran yang muktabar dan ulum hadith secara usahasama pelbagai pihak ini merupakan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan agar dapat menghasilkan manfaat yang memberi impak kepada diri, keluarga, organisasi, komuniti, negara dan juga diperingkat global. Kajian dari pakar dan ilmuan ini moga dapat dikongsikan bagi melahirkan resolusi dan “call to action” agar al Quran dapat memberikan implikasi nilai yang mulia di sudut aqidah, syariat dan akhlak kepada para penonton berdasarkan sebab turunnya ayat (asbabun Nuzul) dan dari perumpamaan-perumpamaan yang dinyatakan di dalam al Quran.
Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail seterusnya menjelaskan bahawa pengkajian surah dan ayat-ayat di dalam My #QuranTime menghidangkan “Divine Solutions” yang digarap daripada 6 disiplin dakwah yang merujuk kepada tulisan Ulama Yusuf al Qardhawi ; Thaqafah Da’iyyah, iaitu ilmu al Quran dan As Sunnah, Pengetahuan Sejarah, Pengetahuan Bahasa dan Kesusasteraan, Psikologi dan Sosiologi, Sains Hayat & Fizik, dan Semasa. Kisah-kisah dan contoh-contoh daripada al-Quran yang dirujuk turut merangkumi aspek fizikal, emosional, intelektual dan spiritual bagi meningkatkan kualiti hubungan sesama makhluk dan juga hubungan manusia dengan penciptaNya. Kefahaman yang dicetuskan, diharap memberi kesan bahawa al Quran adalah sumber yang lengkap dan relevan pada setiap situasi dan zaman. Menuju 1500H Insya-Allah al-Quran adalah tali penyatuan Ummah tanpa mengambil kira perbezaan latar belakang, ideologi, ras etnik mahupun agama. Al Quran sebagai perlembagaan yang mengharmonikan insan dan alam yang dipersembahkan di dalam sebuah program sebagai dasar untuk menguruskan kehidupan.
Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah pula berkata,
Program My #QuranTime ini sangat dekat di hati dan berbeza dengan rancangan-rancangan sedia ada. Ini kerana selain daripada mengangkat kalam suci Allah sebagai mukjizat teragung yang mendamaikan dan mengembalikan keharmonian global, keistimewaan program ini turut terletak pada keupayaannya menghubung dan menyimpul solidariti ummah
“114 Surah al Quran bermula dari halaman 1 sehingga halaman 604 akan dibawakan oleh para Qari dan Pentadabbur bersama resolusi berpandukan al Quran sebagai solusi kehidupan. Pembahagian segmen pula telah disusun indah dengan melihat kepada keperluan dan kehendak penonton. Hari Isnin hingga Sabtu, tadabbur akan dilaksanakan mengikut halaman al-Quran, manakala pada hari Ahad, pentadabbur dan qari akan memberi imbasan serta ulasan semula tentang apa yang telah dikongsi selama hampir seminggu bersiaran”.
Ini merupakan kali pertama kita meneroka dan menerbitkan program yang akan disiarkan berterusan selama hampir tiga tahun di platform televisyen dan FB Live TV Al Hijrah . Secara peribadi, saya yakin rancangan ini mampu menjadi pedoman kehidupan buat penonton tidak kira di mana mereka berada.
“Dalam jangkamasa tiga tahun ini kita turut bercadang untuk menganjurkan acara lapangan khusus bagi mempromosi My #QuranTime. Ini termasuk mengadakan rakaman di agensi-agensi kerajaan, baadan-badan korporat dan swasta. Oleh yang demikian, kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja amatlah dialu-alukan” jelas Namazee.
Pada majlis yang sama TV Alhijrah dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas mengumumkan akan mengekalkan panel Malaysia #QuranTime sebelum ini di program My #QuranTime ini. Penghayatan bacaan al Quran oleh Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman serta tadabbur oleh Tuan Fazrul Ismail.
My #QuranTime diharapkan dapat melahirkan ramai Sahabah al-Quran yang menjadikan al-Quran teras kehidupan dan seterusnya membangkitkan keunggulan perilaku sebagai Muslim sejati ke arah menghidupkan sebuah Bangsa dan Dunia yang Berbudi dan Penyayang.