Ramai kurang sedar waktu mandi sunat Jumaat
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
SELAIN mereka yang menetap di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah, ramai yang bekerja pada hari Jumaat.
Tidak hairanlah disebabkan itu ada yang beranggapan mereka tidak berkesempatan untuk mandi sunat Jumaat kerana alasan tersebut.
Ketahuilah bahawa sunat mandi Jumaat sebenarnya bermula dari terbit fajar hingga sebelum mula solat Jumaat.
Demikian jelas pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir menerusi akaun platform X miliknya.
Jelas beliau, ia merupakan pandangan Mazhab Syafie sebagaimana dinukilkan dalam kitab al-Majmu’.
“Cuma waktu paling afdal adalah mengakhirkan mandi Jumaat hingga waktu mahu pergi solat Jumaat.
“Ini kerana tujuan utama sunnah mandi Jumaat adalah untuk hadir solat Jumaat dalam keadaan bersih dan mengelakkan bau tidak disenangi ketika berkumpulnya kaum Muslimin saat itu,” katanya.
Justeru, Addien yang juga penulis buku kerohanian itu menyarankan supaya kita mengamalkan sunnah yang satu tersebut.
“Kalau mampu mandi betul-betul sebelum hendak pergi solat, itu terbaik.
“Jika tidak mampu kerana bekerja dan sebagainya, (ketika) mandi awal pagi itu, niatkan sekali mandi (sunat) Jumaat. Dapat ekstra pahala sunat Jumaat. Mandi pun dapat pahala sunat ekstra, rugilah kalau kita tak niat,” ungkapnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.