Mulut antara penyebab manusia ke neraka
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
MULUT menjadi antara penyebab yang menjerumuskan seseorang ke neraka.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW pernah ditanyakan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke syurga.
Baginda SAW menjawab: “Takwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya”. Lalu Baginda ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Rasulullah SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman berkata, maksud mulut dalam hadis itu melibatkan orang yang tidak menjaga dan berusaha memelihara dirinya daripada dosa-dosa mulut.
Ia termasuklah mengucapkan ungkapan kufur, laknat qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, melakukan kesaksian palsu dan sebagainya.
“Demikian terang Syeikh Abdullah At-Talidi dalam kitabnya, Jawahir al-Bihar,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Jelas beliau, Imam Al-Ghazali menyatakan terdapat lima keburukan yang berpunca daripada lidah iaitu berdusta, mengumpat, perdebatan, pujian dan gurauan.
“Andai lidah tidak digunakan untuk tujuan kebaikan, tidak mustahil ia akan menjadi alat pencetus kepada dosa dan masalah.
“Pada masa sama, jangan bertengkar mulut dengan orang bodoh kerana ia akan menimbulkan musuh yang sentiasa menyakitkan hati. Walaupun kita di pihak yang benar, hindarilah berdebat dan bertengkar,” ungkapnya.
Berkata baik atau diam
Meskipun Rasulullah SAW mengingatkan umatnya untuk berkata baik atau diam, tetapi bukan mudah bagi seseorang berdiam diri tanpa begitu sahaja.
Menyedari hal itu, Ustazah Noor Rashidah kemudian memberikan tip bernilai agar diri tidak menghamburkan kata-kata kurang baik terhadap saudara kita.
Pertama, elakkan daripada bersangka-sangka kerana tindakan itu akan mengundang kepada mencari-cari kesalahan orang lain, mengintip dan akhirnya membawa kepada perbuatan mengumpat.
“Jangan pernah anggap diri terlalu suci tanpa dosa dalam hati mahupun pada diri sendiri dan tidak mudah percaya dengan apa yang dilihat, didengari mahupun dibaca.
“Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan pasti ada balasannya sama ada dipercepatkan di dunia ataupun ditangguhkan di akhirat kelak. Jika kita kerap menyakiti saudara kita dengan kata-kata. Balasan ALLAH amatlah pedih.
“Apatah lagi kita kita hidup pada zaman penuh dengan fitnah dan berita palsu, maka diam adalah lebih baik,” ujarnya.
Tutur kata cerminan hati manusia
Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustazah Noor Rashidah kemudian menjelaskan perwatakan orang beriman yang ‘menyelamatkan’ saudaranya daripada ungkapan buruk terbit dari lidahnya.
Bahkan katanya, golongan itu sentiasa berhati-hati menuturkan bicara agar tidak menyinggung atau melukakan perasaan sesiapa.
“Sedangkan orang yang tidak sempurna imannya tak pernah memikirkan implikasi daripada apa yang terbit dari mulutnya. Bahkan, sentiasa merasakan diri dan kata-kata mereka itu benar. Hakikatnya, diri mereka penuh dengan kebatilan,” katanya.
Kepada satu soalan, penceramah itu menjawab: “Jagalah tutur kata walau di mana sahaja kerana ia menunjukkan akhlak kita sebagai orang yang beragama. Malah, ia juga menjamin kepada keharmonian dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi di Malaysia yang hidup berbilang kaum.
“Tutur kata waima yang diungkap mahupun diluah menerusi penulisan sangat memberi kesan kepada mereka yang mendengar dan membaca. Bahkan, Nabi Muhammad SAW memberi jaminan syurga buat mereka yang mampu menjaga bicaranya.”
Dalam pada itu, Ustazah Noor Rashidah turut memperbetulkan tanggapan ramai tentang frasa ‘mulut jahat tetapi hati baik’ kerana tiada istilah itu dalam Islam.
Jelas beliau, orang yang beriman dan memiliki hati yang baik akan diperlihatkan menerusi akhlaknya sebegitu rupa juga.
“Seorang Muslim yang baik akan memperlihatkan akhlak sebegitu dengan menjaga lisannya. Apabila percakapannya sudah terbiasa mengungkapkan perkara tidak baik, ia tidak lain adalah cerminan pada hati manusia itu sendiri,” ujarnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.