Memuliakan para sahabat Nabi Muhammad SAW
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
ISTILAH sahabat Rasulullah SAW merujuk kepada mereka yang hidup sezaman dengan Baginda, bertemu atau bersemuka, mendengar suara, mengenali, beriman dan menjadi rakan seperjuangan bersama Nabi walaupun hanya seketika.
Para sahabat Rasulullah SAW adalah generasi paling utama dan terbaik kerana mereka berkesempatan mengambil ilmu secara langsung dari Baginda, berdakwah dan berjihad bersamanya.
Sesungguhnya mereka telah melakukan segala pengorbanan dan perbuatan yang terbaik ketika membantu Rasulullah SAW menegakkan agama ALLAH SWT.
Para sahabat Rasulullah SAW telah membuktikan betapa mereka sangat mengasihi, menyayangi dan sentiasa memberikan keutamaan kepada setiap arahan atau permintaan yang dianjurkan oleh Baginda demi kepentingan Islam.
Justeru, para sahabat sentiasa bersiap sedia untuk melakukan apa sahaja tindakan yang akan diminta oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kepentingan Islam.
Sifat-sifat mulia ini telah mendapat pujian daripada ALLAH SWT hinggakan mereka dijamin sebagai ahli syurga. Firman-NYA dalam ayat ke-100 surah at-Taubah:
“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), ALLAH reda akan mereka dan mereka pula reda akan DIA, serta DIA menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.”
Empat sahabat Rasulullah SAW yang boleh dicontohi oleh umat Islam adalah seperti berikut:
1 – Abu Bakar As-Siddiq RA
Beliau berkata: “Sekiranya aku berada di jalan yang betul, berilah bantuan. Sekiranya aku menyimpang, maka tegurlah aku.”
2 – Umar Al-Khattab RA
Katanya: “Kitab suci al-Quran adalah panduanku dan aku akan mengikuti jejak langkah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA.”
3 – Uthman bin Affan RA
Beliau menyatakan: “Di akhirat, seksaan pedih bagi mereka yang mengingkari Allah manakala keampunan serta keredaan ALLAH bagi mereka yang mentaati perintah-NYA.”
4 – Ali bin Abu Talib RA
Beliau berkata: “Seorang Muslim yang sejati seharusnya merupakan orang yang menggunakan lidah dan anggotanya untuk menegakkan kebenaran.”
Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlulah mencontohi perjuangan, pengorbanan, dakwah dan jihad yang telah dipelopori oleh para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.
Larangan mencela, hina para sahabat
Sesungguhnya kita juga dididik supaya tidak mencela atau mencerca para sahabat Rasulullah SAW kerana mereka amat mulia dan jujur dalam melakukan setiap amalan.
Oleh itu janganlah sesekali kita menghina para sahabat Rasulullah SAW dengan apa cara sekalipun apatah lagi sehingga menjadi amalan secara tahunan malahan ada yang membuat secara bulanan dan mingguan.
Hadis daripada Abi Said Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu mencaci para sahabatku. Kalaulah seseorang daripada kamu mendermakan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, nescaya tidak akan dapat menyamai secupak mahupun setengah (separuh) yang didermakan oleh para sahabat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Mencintai sahabat Rasulullah SAW adalah tanda keimanan kepada ALLAH SWT.
Sebaliknya perbuatan menghina, mencaci malah mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh menafikan keimanan seseorang bahkan ia berlawanan dengan hadis Baginda yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin Azib RA:
“Tidaklah mencintai kaum Ansar kecuali orang yang beriman. Dan tidaklah membenci mereka kecuali orang munafik. Barang siapa mencintai mereka nescaya ALLAH mencintainya. Barang siapa membencinya, nescaya ALLAH membencinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai kesimpulan, beberapa panduan dan pengajaran hendaklah diberi perhatian terhadap kelebihan para sahabat Nabi SAW:
1 – Umat Islam hendaklah meyakini bahawa memuliakan para sahabat Rasulullah SAW adalah merupakan satu kewajipan.
2 – Kita hendaklah meneladani dan mencontohi sifat-sifat seperti yang dimiliki oleh para sahabat.
3 – Umat Islam dilarang mencela dan mencaci para sahabat bahkan wajib menjauhkan diri daripada golongan yang suka mencerca para sahabat.
Kelebihan dan kemulian para sahabat Nabi SAW memang tidak dapat dinafikan lagi sehingga ALLAH SWT merakamkan dalam ayat kesembilan surah al-Hasyr:
“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu. Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
Semoga ALLAH SWT meredai kita semua dalam menjaga adab kita terhadap para sahabat Nabi Muhammad SAW dan mencontohi perjuangan hidup mereka.
***Artikel disediakan MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.