Merdeka dengan iman dan takwa, selami maksud kemerdekaan sebenar dalam Islam
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
MERDEKA bukanlah bermaksud kita boleh ‘lepas laku’ dengan sebebas-bebasnya. Apatah lagi hingga mendatangkan kekacauan atau kesakitan terhadap orang lain.
Lihat sahaja apa yang berlaku zaman ini apabila orang tidak lagi segan silu berkelakuan ganas, membunuh tanpa belas kasihan, meluasnya berlaku kes jenayah dan menuruti hawa nafsu tanpa rasa takut.
Itu belum lagi dengan komen-komen menjelikkan, makian dan cercaan terhadap orang lain termasuk para ulama apabila pandangan dilontarkan tidak sependapat dengan mereka.
Malah, ada yang sewenang-wenangnya melabelkan individu lain kafir, memanggil dengan gelaran yang buruk dan sebagainya.
Pendakwah Ustaz Elyas Ismail meluahkan kebimbangannya terhadap senario itu yang memberi impak besar andai tidak ditangani sebaiknya.
Beliau mengajak kita untuk meneladani perwatakan dan keperibadian Rasulullah SAW yang menjadi ‘tokoh kemerdekaan’ bagi umat manusia dan seluruh alam daripada kegelapan jahiliah.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya, ALLAH telah memberi kurniaan kepada orang-orang beriman ketika (ALLAH) mengutuskan seorang rasul (Muhammad) di tengah-tengah mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-NYA, mensucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab (al-Quran) dan Hikmah (Sunnah) meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Ali ‘Imran: 164)
Menerusi kalamullah itu, ujar Ustaz Elyas, para ulama menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk membebaskan dan memerdekakan manusia daripada penjajahan serta fahaman jahiliah.
“Antaranya Nabi memperjuangkan hak dan pengagihan kekayaan sama rata, kezaliman, ekonomi yang dimonopoli, penganiayaan terhadap wanita, hak kemanusiaan dan sebagainya.
“Sebab itulah usaha Baginda ditentang, malah orang kafir Quraisy begitu marah, memulaukan, membenci dan menyeksa Nabi bukan hanya kerana usahanya yang mengajak mereka menyembah ALLAH SWT. Jika diikutkan, kaum itu juga menyembah ALLAH cuma berlaku syirik.
“Sebenarnya, bukan berdakwah saja menjadi penyebabnya, tetapi tradisi masyarakat jahiliah yang sejak sekian lama yang hendak dimerdekakan oleh Baginda ke arah sistem Islam berdasarkan iman dan takwa itu turut menjadi antara puncanya,” katanya menerusi video bertajuk ‘Merdeka dengan iman dan takwa’ dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, jelas Ustaz Elyas lagi, Rasulullah SAW turut membebaskan fahaman pelik yang bersifat khurafat.
Perkara itu ada disebut jelas menerusi sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
“Inilah fahaman berdasarkan benda-benda tertentu yang berakar umbi dijajah sejak dulu lagi. Contohnya, masuk bulan safar kena buat ritual tertentu, kalau tidak, diri atau keluarga akan terkena sial.
“Ini bermakna, kebebasan Nabi sebenarnya menjurus ke arah membawa kembali manusia ke jalan fitrah iaitu menyembah ALLAH SWT,” katanya.
Meskipun Nabi Ibrahim AS sebelumnya sudah diutus membawa syariat ALLAH dan ibadah yang betul, penceramah itu menjelaskan, faktor jarak ribuan tahun antara Baginda AS dan Nabi Muhammad SAW menyebabkan masyarakat hilang arah.
“Bayangkan kita kalau tidak dengar ceramah atau tidak buat program kerohanian pun boleh jadi merapu, inikan pula mereka. Sebab itulah mereka bertawaf mengelilingi Kaabah dalam keadaan bertelanjang.
“Memang ada ritual itu, tetapi telah diseleweng sehinggalah Nabi Muhammad SAW mengembalikan ke jalan yang sebenarnya,” katanya.
Hak dan had
Mengapa kebebasan dalam Islam itu ada perkara yang boleh dan ditegah untuk dilakukan?
Menjawab persoalan itu, Ustaz Elyas menjelaskan, dalam Islam, terdapat dua perkara mustahak iaitu hak dan had.
Benar, setiap orang ada hak masing-masing untuk bercakap, bergerak dan menyuarakan haknya, tetapi setiap daripadanya ada had atau batas.
“Hendak bersuara, silakan tetapi ada batasnya. Itu tanda hidup orang beragama.
“Dalam istilah agama, kebebasan orang terbatas dengan kebebasan orang lain. Contohnya, kita beli set karaoke dan menyanyi di dalam rumah kita. Sudahlah sumbang, jiran di kiri dan kanan kita pun geram kerana sikap kita yang menyusahkan orang.
“Walaupun kita bayar rumah dan cukai pintu, tetapi hak berjiran tetap perlu dijaga melainkan jika duduk di tengah-tengah hutan. Perkara inilah yang masih tidak difahami oleh segelintir masyarakat,” katanya.
Mudah kata, jelas Ustaz Elyas, ada sebilangan dalam kalangan masyarakat yang masih dijajah dengan kebodohan atau kejahilan yang sukar dibendung pada era milenial kini.
Mengambil contoh majalah sekolah yang pernah diterbitkan di institusi pendidikan itu suatu masa dahulu, katanya, ruangan karya pilihan seperti cerpen, puisi dan seumpamanya hanya memuatkan kandungan yang benar-benar berkualiti.
“Maksudnya bukan semua karya pelajar dipilih, hanya yang betul-betul cantik gaya bahasa atau isi kandungannya terpilih untuk memenuhi ruangan tersebut.
“Begitu juga dengan kemunculan jurucakap di kaca televisyen. Jika dahulu, hanya menteri, profesor, doktor dan sebagainya yang banyak bercakap. Maksudnya di sini semuanya ada kawalan,” katanya.
Bagaimanapun kini, jelas pendakwah itu, semua yang ‘dibakulsampahkan’ sudah menjadi arus perdana lantaran banyak kandungan boleh dimuat naik di media sosial dan mudah diakses.
“Dalam sebuah hadis, antara tanda-tanda hendak kiamat adalah apabila kebodohan berleluasa. Ini bermakna, ia dilakukan secara terang-terangan sepertimana berlaku sekarang yang mana pembunuhan secara terang-terangan dan pelakunya tidak kisah pun melakukannya.
“Perkara ini begitu membimbangkan kerana benda ini Nabi sudah perjuangkan dulu iaitu membebaskan manusia daripada kejahilan. Sedangkan saban hari, seawal pagi lagi dalam solat Subuh, kita sudah membaca doa qunut memohon agar ALLAH mengurniakan hidayah, petunjuk dan ilmu,” terangnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.