Ilmu sahih pandu ke jalan takwa
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
TEKANAN atau stres sememangnya wujud dalam kehidupan seharian kita dan ia tidak mengenal pangkat, usia mahupun warna kulit.
Apa yang lebih penting dalam menangani tekanan itu adalah bagaimana kita bertindak balas terhadapnya.
Ada sesetengah daripada kita berjaya mengharungi tekanan tersebut dengan cara yang betul namun sebahagian yang lain pula mungkin tersilap percaturan dalam tindakannya sehingga mengambil jalan yang mudah dengan membunuh diri.
“Berdasarkan laporan berita, kira-kira 200,000 orang meninggal dunia akibat perbuatan membunuh diri setiap tahun di Jepun.
“Di negara kita tidak terkecuali perbuatan membunuh diri dengan terjun dari jambatan dan sebagainya, akibat daripada tekanan,” luah Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun.
Tekanan di dalam neraka lebih dahsyat
Jelas beliau, tekanan yang dihadapi manusia di dunia ini adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tekanan dibakar di dalam neraka ALLAH SWT.
“Oleh sebab itu kita semua kena menjadi ahli syurga bagi mengelakkan stres di dalam neraka itu.
“ALLAH sudah melantik kita menjadi manusia dan menjadi khalifah-NYA. Penting untuk kita mendapatkan syurga-NYA dengan bimbingan wahyu itu sendiri,” katanya pada forum bertajuk Mengukuhkan tradisi ilmu dan dakwah dalam era digital.
Forum tersebut diadakan sempena Majlis Pra-Pelancaran Aplikasi Madkhal di Shah Alam, baru-baru ini.
Menurutnya, untuk mendapatkan syurga ALLAH itu, umat Islam mesti mempunyai ilmu. Untuk mengusai ilmu pula, kita perlu banyak membaca sebagaimana firman-NYA yang pertama diturunkan iaitu ayat pertama surah al-‘Alaq: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.”
“ALLAH memerintahkan kita untuk baca dan faham. Mengapa DIA memilih kita menjadi khalifah di bumi? Ia sebenarnya adalah peluang kepada kita untuk menjalankan dakwah kepada diri sendiri dan orang lain bagi mengecapi syurga-NYA.
“Jadi penting untuk memainkan peranan berdakwah dan berjihad untuk mendapatkan syurga ALLAH.
“Kita sebenarnya berasal dari syurga melalui Nabi Adam AS. Untuk kembali ke syurga itu, kita perlu melepasi ujian ALLAH dan selamatkan diri serta orang lain daripada gangguan syaitan dengan mendapatkan ilmu yang benar,” jelasnya.
Beza ilmu dan maklumat
Mengulas mengenai ilmu yang sahih atau benar, Dr Mohamad Sabri menjelaskan, terdapat perbezaan antara ilmu dan maklumat.
“Hari ini terlalu banyak media sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya. Di media sosial itu banyak maklumat dan persoalannya, apakah ia benar?
“Jadi peranan kita sebagai pendakwah untuk menyampaikan kefahaman kepada masyarakat bahawa maklumat itu ada yang benar dan salah.
“Dalam konteks ilmu yang benar, ia akan membawa kita kepada takut dan takwa kepada ALLAH SWT,” hurainya.
Katanya, sebagaimana kata-kata Imam Asy-Syafie, ilmu adalah cahaya dan ia tidak akan masuk ke dalam hati orang yang melakukan maksiat.
“Itulah ilmu yang benar, namun hari ini masyakarat keliru dan tidak dapat membezakan antara ilmu dengan maklumat.
“Ilmu memerlukan praktikal atau amalan. Natijahnya, semakin ilmu berkembang, kita semakin menjauhi maksiat,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sesiapa sahaja boleh mendapatkan ilmu namun pada akhirnya ilmu yang diamalkan itu yang akan memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat.
“Bukan mudah untuk menjadi orang yang betul-betul berilmu kerana hasilnya itu akan membawa kepada takut dan takwa kepada ALLAH SWT, bukan takut selain-NYA.
“Oleh sebab itu ALLAH berfirman dalam ayat ke-28 surah Fatir: “Sesungguhnya antara yang takut kepada ALLAH daripada kalangan hamba-hamba-NYA adalah para ulama (orang yang berilmu),” katanya.
Jelasnya, ilmu yang banyak ini ALLAH tidak longgok kepada seorang sahaja, DIA berikan kepada sesiapa yang dikehendaki.
“Oleh sebab itu kita hidup ini perlu berinteraksi dengan orang lain kerana kita bukannya tahu semua benda.
“Kemudian kita perlu hormati guru yang pernah memberi ilmu kepada kita walaupun sedikit,” jelasnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.