Waktu paling afdal untuk makmum beri salam
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
WALAUPUN kita mungkin biasa menunaikan solat secara berjemaah, namun ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.
Ia bukan hanya sekadar makmum mengikut pergerakan imam dan tidak mendahului ‘ketua’ masing-masing.
Dalam perihal memberi salam selepas tahiyat akhir misalnya, sering kali kita melihat pelbagai cara dilakukan oleh makmum.
Ada yang terus memberi salam selepas imam menyudahkan salam pertama dan berpaling ke kiri. Terdapat sebahagiannya pula lebih gemar menunggu imam untuk menyelesaikan kedua-dua salam, barulah makmum mengikutinya.
Sebenarnya, bagaimanakah cara yang terbaik? Apakah masa paling afdal untuk makmum beri salam? Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, makmum disunatkan untuk menunggu imam selesai dua salam, barulah dirinya berbuat demikian.
Perkara itu dinyatakan jelas oleh Syeikh Zakaria al-Ansori dalam kitab Fathul Wahhab bahawa: “Dan disunatkan bagi makmum seperti pada kitab at-Tahqiq ia beri salam selepas imam selesai ucap dua kali salam.”
“Makruh hukumnya jika makmum ucap salam bersama imam. Bagaimanapun, andai mereka berbuat demikian, solatnya tetap sah.
“Demikian pendapat Syeikh Nawawi al-Bantan dalam kitab Nihayah Zain,” katanya menerusi infografik yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.
Justeru, tunggulah imam selesai menyudahkan kedua-dua salam, barulah kita mengikutnya.
Seperkara lagi, harus diingat bahawa salam merupakan salah satu rukun solat.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Imam al-Nawawi menyebut bahawa salam yang pertama merupakan rukun dalam solat.
“Oleh sebab itu, ia wajib dilafazkan seperti kewajipan melafazkan takbiratulihram.
“Malah, ia juga disunatkan dilakukan sebanyak dua kali iaitu salam yang pertama dengan menghadapkan wajah ke arah kanan dan salam yang kedua pula ke arah kiri.
“Paling penting, salam tersebut hendaklah sekurang-kurangnya dengan lafaz ‘Assalamualaikum’. Jika terkurang satu huruf berkenaan, maka tidak sah salamnya. Sebaik-baik lafaz salam adalah ‘Assalamualaikuk wa rahmatullah’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1884: Hukum Memberi Salam ke Arah Kiri Terlebih Dahulu Sebelum Kanan di Akhir Solat.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.