Bahasa media: Fungsi tabayyun tangkis idealogi menyasar
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
JIKA kita teliti sejak sebelum kemerdekaan lagi, British telah menggunakan bahasa dalam media sebagai alat untuk menyebarkan ideologi dan berterusan sehingga kini.
Selain menyampaikan mesej dan berita, bahasa juga berfungsi sebagai alat pembawa ideologi sama ada daripada ahli politik, pengamal media malah agamawan.
Ideologi adalah fahaman dan ajaran yang digunakan atau dicita-citakan sebagai dasar pemerintahan.
Ideologi digunakan untuk membentuk identiti dan solidariti antara anggota suatu kelompok dan mampu mempengaruhi tindakan dan keputusan seseorang melalui pemilihan perkataan dan bahasa.
Pemikiran yang sempit mencerminkan ideologi atau kefahaman seseorang dan ini dimanifestasikan melalui pemilihan perkataan yang digunakan.
Orang yang memiliki pandangan yang terbatas cenderung menggunakan bahasa atau pilihan perkataan yang terhad kerana pemahaman seseorang itu terhad dan tidak menyeluruh tentang dunia.
Sebaliknya pemilihan bahasa dan perkataan yang luas dan inklusif sering kali mencerminkan pemikiran yang terbuka dan keinginan untuk memahami perspektif yang beragam.
Contohnya, perkataan Din daripada bahasa Arab sering diterjemahkan sebagai agama oleh masyarakat kita.
Pada hakikatnya, perkataan Din atau ad-Din membawa maksud yang lebih menyeluruh dan mendalam iaitu keseluruhan aspek kehidupan yang sebenar dan diredai ALLAH SWT termasuk cara berpolitik, berekonomi, bersosial, mengurus alam dan berkeluarga.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, perkataan agama bermaksud kepercayaan kepada tuhan.
Perbezaan yang dilihat kecil ini sebenarnya memberi impak yang besar kepada pemahaman masyarakat berkenaan konsep Islam ini sehingga wujudlah suatu fahaman seperti “Asalkan solat, aku Islam”.
Bahasa dalam filem La Luna
Dalam konteks filem pula, penggunaan bahasa dalam filem La Luna memainkan peranan penting dalam menonjolkan ideologi dan nilai-nilai yang ingin disampaikan oleh pembuat filem.
Berikut adalah contoh dialog dalam La Luna yang mencerminkan elemen idealogi postmodernisme iaitu kebenaran adalah subjektif.
Watak A: “Apakah kau percaya bahawa kita hidup dalam realiti yang sebenarnya atau hanya dalam satu lagi mimpi yang tidak berkesudahan?”
Watak B: “Siapa yang tahu? Mungkin realiti itu sendiri adalah konstruksi subjektif yang kita bentuk melalui pengalaman dan persepsi kita sendiri.”
Watak A: “Jadi, apa yang membuat kita percaya bahawa apa yang kita alami adalah benar-benar ‘real’?”
Watak B: “Mungkin realiti itu sendiri adalah satu lagi naratif yang kita cipta, terdiri daripada fragmen-fragmen pengalaman dan ingatan yang disusun semula setiap kali kita mencuba memahaminya.”
Filem ini mengajak kita untuk mempersoalkan apa sebenarnya realiti dan memberi ruang bagi penonton memikirkan kembali pandangan mereka tentang dunia.
Pengarah mungkin ingin menyatakan bahawa realiti itu berubah-ubah berdasarkan cara pandang (ideologi) seseorang terhadap sesuatu.
Melalui karakter-karakter dan dialognya, filem ini juga merangsang kita untuk memikirkan bagaimana pandangan kita tentang dunia dipengaruhi oleh pengalaman kita sendiri. Tentu anda fikir ini menarik, bukan?
Cara pandang Islam
Namun, jika cara pandang setiap orang berbeza, mana satukah yang betul dan salah untuk diterima?
Cara pandang yang benar adalah bagaimana Islam menyuruh kita memandang sesuatu berdasarkan wahyu-NYA yang telah menggariskan perkara benar dan salah.
Cara pandang ini dinamakan Islamic worldview atau Cara pandang Islam.
Perbezaan cara pandang boleh menyebabkan kekeliruan, perpecahan dan kita boleh kehilangan pegangan dalam membezakan antara yang benar dan yang salah.
Justeru apabila kita menggunakan cara pandang Islam, pandangan kita tidak menjadi bias dan tidak memihak kepada mana-mana.
Jadi, meskipun filem ini membawa kita pada refleksi yang dalam dan pelbagai tentang realiti, kita juga perlu mengesahkannya mengikut cara pandang Islam sebelum kita boleh menerimanya kerana sesuatu cara pandang mampu membentuk suatu fahaman dan kepercayaan yang boleh menyimpang dari Islam.
Bahasa dalam media
Dalam konteks berita atau media pula, penggunaan perkataan yang mengelirukan boleh menimbulkan pelbagai persepsi, membentuk ideologi dan mengakibatkan salah faham sesetengah pihak.
Contohnya, kes yang dilaporkan oleh sebuah akhbar dengan tajuk Lelaki maut ditikam ketika melakukan seks dengan teman wanita, mendorong pembaca membuat konklusi bahawa wanita itu bersalah walaupun ia merupakan caranya mempertahankan diri.
Sebenarnya, berita yang disampaikan tidak menceritakan keseluruhan kejadian yang berlaku.
Wanita itu telah diculik oleh lelaki tersebut dan dipaksa untuk melakukan hubungan seks lalu dia ditikam kerana wanita itu ingin menyelamatkan diri.
Walaupun akhbar tersebut merupakan syarikat media yang terkenal, mereka gagal menceritakan kebenaran, sebaliknya ada portal kecil berjaya menyampaikan cerita sebenar melalui pemilihan bahasa yang tepat.
Namun kita bernasib baik kerana hidup di era maklumat di hujung jari ini banyak membantu dalam mendedahkan fakta yang cuba dimanipulasi.
Bagi mengelakkan bahasa dalam media mempengaruhi kita, bertabayyun itu wajib. Apakah itu tabayyun?
Tabayyun adalah proses memeriksa dengan teliti sesebuah peristiwa dan khabar yang datang sehingga terbukti kesahihannya menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
ALLAH menyuruh kita bertabayyun seperti disebut dalam ayat keenam Surah Al-Hujurat agar kita tidak mendakwa atau memperkatakan sesuatu perkara kecuali telah terbukti kesahihannya.
Perkara ini juga bakal membawa kepada andaian atau sangkaan yang tidak tepat sekiranya tidak melakukan proses tabayyun.
Dalam surah yang sama pada ayat ke-12 juga ada mengatakan sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.
Tabayyun adalah relevan kepada semua pengamal media tidak kira industri media massa dan pengguna sosial media.
Rangkumannya, oleh sebab bahasa berupaya membentuk fahaman dan juga boleh mengelirukan, penonton dan pembaca perlu bijak serta peka dalam menerima dan menilai sesuatu perkara.
Cara paling selamat adalah menggunakan cara pandang Islam dan melakukan tabayyun.
Sebagai mahasiswa, sudah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk memperbetul segala salah faham yang terjadi demi kemaslahatan umat dan negara.
*NUR AMANI SHAHIRAH ABDUL AZIZ, DAMIA QISTINA ZAIDI dan SAFFIYYAH ALISHA SHAIFUL RIDZUAN merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh, Johor.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.