Berwuduk selepas buat dosa
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
BERWUDUK bukan hanya menjadi syarat utama untuk melaksanakan suatu ibadah semata-mata.
Bahkan, amalan itu sebenarnya terselit beberapa hikmah apabila dilakukan.
Apabila dalam keadaan marah misalnya, kita dianjurkan untuk mengambil wuduk untuk menghilangkan perasaan tersebut yang boleh memicu kepada dosa lain.
Bukan itu sahaja, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, seseorang yang diuji dengan maksiat lidah seperti mengumpat, mencarut, berbohong dan seumpamanya juga disunatkan untuk mengambil air sembahyang.
Ia dilakukan selepas seseorang menyebutkan perkataan-perkataan buruk.
“Itulah pandangan para ulama Asy-Syafi’iyyah dan juga Al-Hanabilah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di aplikasi X miliknya baru-baru ini.
Beliau kemudian mengemukakan pandangan Al-Imam Abu Ishaq Ash-Shirazi dalam kalangan Asy-Syafi’iyyah yang menyatakan: “Dan disunatkan untuk seseorang itu berwuduk disebabkan ketawa dalam solat dan disebabkan perkataan yang buruk.”
Menurut Imam An-Nawawi ketika mensyarahkan pernyataan itu, jelas Ustaz Muhammad Fahmi, sunat untuk berwuduk syarie (sempurna) oleh sebab mengucapkan perkataan yang buruk seperti mengumpat, mengadu domba dan berbohong.
Selain itu katanya, Al-Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi dari Al-Hanabilah turut senada dengan pendapat berkenaan.
“Beliau berkata, ‘Kami telah meriwayatkan dari ramai ulama terdahulu bahawa mereka menyuruh untuk berwuduk disebabkan perkataan-perkataan yang kotor. Demikian itu sunat (hukumnya) di sisi kami daripada kalangan yang menyuruhnya’.
“Bukan itu sahaja, Al-Imam Ibnu Taimiyyah yang juga daripada kalangan Al-Hanabilah meluaskan isu ini dengan tidak hanya mengehadkan kepada maksiat lidah semata-mata, tetapi disunatkan juga berwuduk setelah melakukan sebarang dosa,” katanya.
Jelas pendakwah itu lagi, segala hujah tersebut disandarkan kepada beberapa atsar daripada sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Ibnu Mas’ud, Aisyah dan juga Ibnu Abbas RA.
“Hikmah daripada perbuatan ini adalah supaya wuduk yang diambil itu dapat menggugurkan dosa pelakunya,” katanya.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berwuduk, lalu dia memperelokkan wuduknya, akan keluar dosa-dosanya dari jasadnya sehingga dosa-dosa tersebut keluar dari bawah kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.