Hari Jumaat, keberkatannya yang sering diabaikan
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
MENYENTUH perkara berkaitan keberkatan, sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata melainkan kita mengamati dan merasai sendiri pengalamannya.
Sedar atau tidak banyak perkara disebut Rasulullah SAW mengenai keberkatan ini.
Antaranya keberkatan dalam amalan sahur sebelum mengerjakan ibadah puasa, keberkatan masa, keberkatan pada Lailatul Qadar dan banyak lagi.
Bagaimanapun, kita sering melupakan keberkatan yang ada pada hari Jumaat walaupun setiap minggu kita pasti melaluinya.
Mengupas mengenai hari Jumaat, Pengerusi Eksekutif Dagang NeXchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir terlebih dahulu mahu menukar persepsi orang ramai terhadap nilai yang ada pada hari yang penuh dengan keberkatan itu.
“Ramai orang beranggapan hari Jumaat merupakan hari yang menyusahkan dan tidak produktif bagi sesetengah pekerja.
“Ini kerana ramai yang mengambil kesempatan atas kelonggaran yang diberikan majikan. Sebagai contoh, boleh keluar awal makan tengah hari dan boleh masuk pejabat lewat, ada yang curi tulang dan sebagainya,” katanya.
Hari membersihkan diri, kembali kepada ALLAH SWT
Beliau yang mempunyai banyak pengalaman dalam sektor pengurusan dan korporat memberitahu, dia mempunyai persepsi yang berbeza mengenai hari Jumaat.
“Saya selalu melihat hari Jumaat sebagai hari mengambil kesempatan untuk membersihkan diri.
“Kita sudah pun bertungkus-lumus bekerja dari Isnin sehingga Khamis, jadi pada hari Jumaat gunalah peluang untuk kembali kepada ALLAH SWT dengan membersihkan diri, duduk mendengar khutbah Jumaat dan berdoa kepada-NYA,” katanya.
Menurut Syed Zainal Abidin, majikan atau pimpinannya perlu mengambil peranan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari yang produktif sama seperti hari lain.
“Jangan kata hari Jumaat tak boleh buat mesyuarat memandangkan masanya yang singkat. Ia mesti ada namun majikan juga perlu menunjukkan contoh dan berdisiplin iaitu sebelum pukul 12.30 tengah hari mesti selesai.
“Orang Islam baik majikan atau pekerja perlu reset atau kembali semula kepada ALLAH SWT pada hari Jumaat. Banyakkan berdoa agar diberi kekuatan kepada majikan dan pekerja serta betulkan semula niat,” katanya.
Kerja jadi lancar, dipermudahkan
Bercerita mengenai aspek keberkatan dalam bekerja, Syed Zainal Abidin menjelaskan, majikan dan pekerja perlu yakin dengan kelebihan yang ALLAH SWT berikan.
“Bagi saya, kita kena yakin apa sahaja yang kita buat dengan niat yang betul akan mendapat keberkatan dan usahakanlah dengan cara yang terbaik.
“Gunakanlah peluang pada hari Jumaat itu untuk berdoa kerana kelebihan hari Jumaat itu memang luar biasa. Itu adalah kekuatan umat Islam iaitu doanya untuk orang lain.
“Carilah teknologi yang canggih sekalipun kalau tiada keberkatan dari ALLAH SWT, akan ada kesukarannya yang perlu dihadapi,” katanya.
Amalkan Basmalah, Surah al-Fatihah
Ujarnya, apa yang boleh dimulakan di peringkat majikan untuk mendapat keberkatan ALLAH SWT, mulakan mesyuarat dengan nama ALLAH (Basmalah) dan Surah al-Fatihah.
“Cuba amalkan perkara ini dahulu dan lihat sejauh mana keberkatan itu datang kepada kita,” katanya.
Beliau memberi contoh satu projek yang dilaksanakan, beliau memberi syarat perlu baca Basmalah dan Surah al-Fatihah pada setiap mesyuarat serta doa selamat setiap tiga bulan.
“Hasilnya projek ini dapat diselesaikan dalam tempohnya dan ia di bawah bajet serta masalah juga berkurangan.
“Mengapa ia dapat dilaksanakan? Ada yang cakap sebab teknologi baru. Tapi bagi saya ia merupakan keberkatan yang diberikan ALLAH SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada program bual bicara Sinar Jumu‘ah yang bertajuk Ada Apa Dengan Jumaat? anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Turut menjadi ahli panel ialah Timbalan Dekan (Inovasi dan Penyelidikan), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Bual bicara dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail manakala Muhammad Harith Hakimi Mohd Rostan pula bertindak sebagai Qari.
Sinar Al-Jumu‘ah merupakan program yang disiarkan di platform Facebook dan YouTube QuranHour, Facebook Sinar Harian dan Sinar Islam Plus.
Orang ramai boleh mengikuti siaran tersebut pada setiap minggu pertama hari Jumaat, sebulan sekali di sepanjang 2024. Program sejam tersebut dirakamkan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.
Layari laman web kami www.myqurantime.org untuk tonton semula video-video My #QuranTime 2.0