Terlebih makan, hilang kemanisan beribadah
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
TIDAK dinafikan, memang ada orang yang jenis makan banyak. Terdapat pula yang hanya menyantap dalam kuantiti kecil sahaja, sudah kenyang.
Begitulah situasi yang dapat kita lihat daripada insan di sekeliling. Barangkali keperluan masing-masing tidak sama. Apa pun semuanya bergantung kepada perut sendiri.
Paling sukar untuk diterima oleh akal apabila melihat orang ambil makanan dalam kuantiti banyak. Ada yang berpinggan-pinggan jugalah menjamah hidangan bagaikan tiada hari esok.
Ketahuilah bahawa ALLAH SWT tidak suka orang yang melampau-lampau termasuklah dalam soal makan.
Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum makan dan minum pada asasnya adalah harus.
“Ini kerana memang perangai manusia sememangnya begitu. Jadi harus hukumnya makan apabila lapar dan minum ketika dahaga, tetapi jangan banyak (berlebih-lebihan),” katanya sebagaimana dipetik menerusi klip video yang disiarkan di YouTube miliknya.
ALLAH SWT berfirman: “…Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya, ALLAH tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)
Bagi menjelaskan maksud berlebihan itu, Ustaz Azhar Idrus memberikan contoh mudah untuk kita memahaminya.
“Kalau kita minum air segelas itu dipanggil harus (hukumnya). Ini air itu (banyak sehinggakan) boleh mandi junub pula.
“Itulah yang dipanggil sebagai melampaui batas. Mengertilah, ALLAH tidak suka orang yang melampau-lampau.
“Ingatlah, siapa yang (sudah) kenyang, (tetapi) makan lagi (sebab) sedap punya pasal, ALLAH benci (cara) makan seperti itu,” tegasnya.
Ia bukanlah bermaksud ALLAH SWT melarang kita daripada makan sedap, tetapi sebaiknya bersederhanalah, ungkapnya.
“Ini kerana pakar-pakar menyatakan perut punca menyebabkan banyak penyakit.
“Boleh makan sedap, jangan makan banyak,” pesannya.
Dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jangan ambil tindakan yang membahayakan diri sendiri atau orang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Memetik pandangan ulama Mazhab Syafie, Taqiyuddin as-Subki yang disiarkan dalam laman web Islam Pos: “Makan lebih daripada kenyang adalah haram. Inilah yang dinyatakan oleh al-Izz bin Abdus Salam dalam al-Qawaid.”
“Beliau berhujah, ia termasuk membazir harta dan merosakkan badan.”
Justeru, beringatlah ketika bersantap. Jangan makan berlebih-lebihan.
Sebelum menutup kalam, Sinar Islam teringat pesanan yang pernah dititipkan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah ketika menemu bualnya sebelum ini.
Jelas beliau, terdapat enam ‘penyakit’ bakal dihadapi apabila seseorang itu terlalu kenyang, sebagaimana dinukilkan oleh Sheikh Abu Sulaiman al-Darani
Ia termasuklah hilang kemanisan beribadah, sukar menghafal, kurang rasa simpati pada orang lain, malas beribadah, meningkatkan hawa nafsu dan kerap ke tandas.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.
Layari laman web kami www.myqurantime.org untuk tonton semula video-video My #QuranTime 2.0