Amal 12 sunnah ini sentiasa, besar nilainya di sisi ALLAH
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
TIDAK lengkap rasanya kehidupan sebagai Muslim andai kita meninggalkan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Benar, kita sudah tunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, berzakat atau menunaikan haji, tetapi tiada salahnya andai kita mahu mengembangkan amalan-amalan sunnah lain dalam kehidupan seharian.
Mengertilah, sekecil apa pun kebaikan yang dilakukan, pasti akan ada nilai di sisi ALLAH SWT.
Memetik sebuah tulisan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ahli hadis dan usul bersepakat mendefinisikan sunnah sebagai setiap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.
Tidak kiralah sama ada ia berbentuk percakapan, perbuatan mahupun persetujuan (iqrar) daripada Nabi Muhammad SAW.
Seperkara lagi tanggapan segelintir orang yang perlu diperbetulkan, sunnah tidak hanya memfokuskan kepada ibadah semata-mata.
Sebaliknya, jelas pendakwah dan penulis buku kerohanian, Ustaz Muhamad Rizal Johari, sunnah juga sebenarnya termasuk pada akhlak dan adab.
Beliau kemudian menyenaraikan 12 sunnah yang boleh kita dijadikan amalan seharian dalam kehidupan kita.
Berikut perinciannya:
1. Memberi salam kepada saudara seagama yang ditemui dan berjabat tangan dengannya.
2. Berwajah manis dan senyum ketika berbicara.
3. Mendahulukan anggota di sebelah kanan dan apabila melepaskan sesuatu pula, hendaklah di sebelah kiri. Sebagai contoh, ketika memakai pakaian atau selipar, dahulukan anggota kanan, tetapi tatkala membuka baju atau alas kaki tadi, mulakan dengan bahagian kiri.
4. Tidak berkata sesuatu yang sia-sia melainkan menuturkan perkara menyenangkan dan bermanfaat.
5. Memulakan sesuatu dengan kalimah Bismillah (bacaan pendek).
6. Menutup mulut ketika ketawa dan menguap.
7. Jangan lupa untuk mengucapkan alhamdulillah selepas bersin.
8. Menziarahi orang sakit (bukan sekadar bertanya khabar melalui WhatsApp).
9.Tidak memotong percakapan orang yang sedang bercakap.
10.Banyak menyebut zikir Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallah hil adzim saat tidak berbuat apa-apa.
11. Menepati janji.
12. Tidak bersendawa dan kentut apabila ada orang lain di samping kita.
Melihat kepada semua amalan itu, ia nampak mudah untuk kita lakukan.
Meskipun kelihatan remeh, namun Ustaz Muhamad Rizal mengingatkan, begitu besar nilainya jika kita melakukan perkara-perkara yang disenaraikan.
“Semoga kita berusaha menjadi hamba ALLAH SWT yang bertakwa. Ini kerana ahli syurga ialah orang yang bertakwa,” ungkapnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.