Amalan sunah cegah penyakit kronik
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai menyertai program Wellness #QuranHour bertemakan ‘Amalan Sunnah: Cegah Penyakit Kronik’ di Masjid Darul Ehsan, SS 15, Subang Jaya pada 21 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut memfokuskan kepada kesejahteraan kesihatan dengan mengamalkan sunah Rasulullah SAW.
Menurutnya, ia juga bertujuan mendorong peserta menyusun semula kerangka pemikiran dan gaya hidup bagi mengembalikan kesejahteraan kesihatan secara menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental, emosi dan spiritual berpandukan al-Quran dan sunah.
“Fokus kali ini adalah kesejahteraan kesihatan yang holistik dan pencegahan penyakit kronik melalui amalan sunah di mana Rasulullah SAW membawa kaedah rawatan dan gaya hidup selari dengan Islam,” katanya
Program yang bermula dari jam 9.30 pagi hingga 11 pagi itu turut diberi pengisian dengan bacaan ayat al-Quran dan surah pilihan yang dibimbing oleh Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.
Ia diselang-selikan dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Ustaz Safri Muhammad Zein, manakala Ketua Pegawai Penyelidik WUIF merangkap Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail sebagai moderator.
Satu sesi perkongsian juga akan disampaikan oleh Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Ab Aziz Al-Safi Ismail yang berpengalaman luas dalam bidang kesihatan.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Marhaini berkata, kajian terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan kesihatan bukan sahaja meliputi aspek rohani, tetapi juga pemakanan sihat seperti dianjurkan dalam al-Quran.
“Banyak ayat al-Quran yang memberikan solusi kepada isu kesihatan dan ia dilihat potensi besar dalam menggabungkan ilmu perubatan moden dengan ajaran Quran dan sunah,” katanya.
Marhaini berkata, pengalaman peribadi berjumpa dengan pesakit yang hilang harapan telah mendorongnya untuk membawa mesej mengenai kesedaran kesihatan fizikal dan membina kerangka fikir manusia kepada halalan tayyiban dan gaya hidup sunah ke dalam masyarakat.
“Kesakitan dan cabaran yang dilalui boleh menguatkan tauhid kepada ALLAH serta mengajar kita tentang pentingnya sabar dan tawakal.
“Gerakan mempromosikan gaya hidup sihat bermula dari masjid sebagai pusat untuk memulakan perubahan ini,” katanya.
Tambahnya, program itu juga akan menjadi satu platform menggalakkan kesejahteraan holistik dengan gabungan golongan profesional yang pakar dalam bidang masing-masing.
“Pihak WUIF berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai doktor pakar dalam bidang kesihatan dan rawatan untuk menjayakan usaha ini
“Penyertaan daripada pelbagai pihak untuk bersama menjayakan gerakan kesejahteraan ini tidak hanya tertumpu kepada jemaah masjid, tetapi juga kepada komuniti lebih luas,” katanya.
Untuk menyertai Wellness #QuranHour, orang ramai boleh mendaftar di https://bit.ly/wellnessqh.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua dan kemasukan adalah percuma.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.