Amalan sunnah yang boleh dilakukan ketika hujan
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
“ALAMAK, hujanlah! Mesti jalan sesak nanti nak keluar.”
“Hujan-hujan ini sedap tidur, tak payahlah buat kerja lain.”
Demikian antara lontaran dialog yang biasa kedengaran tatkala ‘air langit’ mula membasahi bumi.
Walaupun mungkin si penuturnya bukanlah bermaksud dirinya tidak suka dengan hujan, namun ungkapan sebegitu sebenarnya sedikit sebanyak mempamerkan bahawa rintik-rintik air tersebut seakan menyusahkan kehidupan mereka.
Mengertilah bahawa hujan sebenarnya membawa rahmat ke seluruh alam.
Malah, setiap titisan yang turun itu ada bersamanya satu malaikat yang akan meletakkan rintik tersebut pada tempatnya.
Itu yang diperkatakan oleh pendakwah, Ustazah Nourul Iman Nia’mat ketika Sinar Islam menemubualnya sebelum ini.
Daripada kita ‘mengata’ dan tidur ketika hujan, apa kata kita cuba melakukan perkara lain yang boleh memberikan manfaat kepada diri dan mendatangkan pahala.
Sebenarnya, ada beberapa sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW ketika turunnya titisan ‘air langit’ sebagaimana dikongsikan penceramah tersebut dan memetik portal Kalam Sindonews:
1. Berdoa kepada ALLAH SWT.
Waktu hujan adalah saat mustajabnya berdoa. Bermunajatlah memohon doa yang baik-baik kepada YANG MAHA ESA supaya diturunkan rahmat daripada hujan yang turun.
Antara doa yang dianjurkan dibaca ketika hujan ialah Allahumma sayyiban nafi’an (Ya ALLAH, jadikan hujan ini hujan yang bermanfaat).
Selain itu, ketika berlaku ribut dan angin kencang, boleh sahaja kita mengungkapkan doa yang berbunyi: “Ya ALLAH ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon keampunan kepada-MU ya ALLAH, kebaikan angin ini dan kebaikan apa yang ada padanya ya ALLAH, serta kebaikan yang dibawanya dan aku berlindung pada-MU daripada keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya serta keburukan yang dibawanya.”
2. Bersyukur.
Jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI dengan nikmat hujan. Ketahuilah bahawa orang yang bersyukur itu akan ditambahkan lagi kesyukurannya.
Ini kerana dengan adanya setiap rintik-rintik air dari langit itu, ia sebenarnya dapat memberikan kesuburan ke atas tanaman di atas tanah yang kering-kontang dan menjadikan alam sekitar lebih nyaman.
3. Mengenakan sedikit tubuh badan kita dengan air hujan.
Terdapat ulama menyatakan bahawa perbuatan itu adalah sunnah Rasulullah SAW.
Diceritakan oleh Anas bin Malik RA bahawa: “Kami pernah kehujanan bersama Rasulullah SAW, lalu baginda menyelak bajunya sehingga hujan menimpa badan Baginda. Lalu, kami bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa kamu melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah bersabda: “Kerana hujan ini baru sahaja datang (turun) dari TUHANNYA YANG MAHA TINGGI.”
Perlakuan itu adalah demi mengambil keberkatan atas makhluk yang baru sahaja diturunkan oleh-NYA.
4. Berwuduk dengan air hujan.
Barangkali ada berasa pelik. Namun begitu, ada sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW menganjurkan kita berwuduk dengan air hujan.
“Apabila air mengalir di lembah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Keluarlah kalian bersama kami menuju air ini yang telah dijadikan oleh ALLAH sebagai alat untuk bersuci.” Kemudian, kami bersuci dengannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi dan Ahmad)
Menurut Ibnu Qudamah: “Dianjurkan untuk berwuduk dengan air hujan apabila airnya mengalir deras.” (Kitab al-Mughni)
5. Usah mencela hujan.
Walaupun banyak aktiviti harian kita tertunda atau terganggu gara-gara hujan, usah sesekali mencelanya.
Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda, ALLAH SWT berfirman: “Manusia menyakiti AKU; dia mencaci maki masa (waktu), padahal AKU adalah pemilik dan pengatur masa, AKU-lah yang mengatur malam dan siang menjadi silih berganti.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ayuh, sama-sama kita amalkan sunnah ini ketika hujan. Paling tidak pun, sekurang-kurangnya kita bersyukurlah atas nikmat kuniaan ALLAH yang satu itu, selain tidak mencelanya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.