Haram jadikan anak patung, ‘teddy bear’ sebagai bantal peluk? Berikut penjelasannya
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
BEBERAPA hari ini, garis masa (timeline) media sosial rancak bercerita tentang larangan tidur bersama anak patung seperti teddy bear.
Ia gara-gara komentar pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus yang mengingatkan ibu bapa agar tidak membiarkan anak masing-masing tidur bertemankan patung permainan.
Beliau menjelaskan, anak patung itu hanya sekadar untuk kanak-kanak belum baligh bermain.
Tertarik dengan isu itu, Sinar Islam merujuk kepada artikel Al-Kafi #1528: Adakah Boleh Menjadikan Patung Minion dan Teddy Bear Sebagai Bantal Peluk yang pernah disiarkan menerusi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam artikel tersebut, memang ada diterangkan dengan jelas bahawa harus hukumnya jika anak patung dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak.
Walaupun pada asalnya terdapat larangan kepada patung atau gambar-gambar lukisan makhluk bernyawa kerana menyerupai ciptaan ALLAH dan dikhuatiri kita mengagungkannya hingga akhirnya membawa kesyirikan, tetapi ada beberapa perbahasan yang perlu diambil kira.
“Ini kerana ia bukanlah menjadi sesuatu yang disembah atau dimuliakan.
“Bahkan, sifat anak-anak kecil yang tabiatnya suka merosakkan atau mematahkan patung seperti terputus anggota badan atau kepalanya jelas menunjukkan bahawa ia sebagai patung permainan. Jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi untuk disembah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.
Begitu juga halnya dengan menjadikan patung seperti teddy bear, Minion dan seumpamanya sebagai bantal peluk.
Dalam perkara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan tersebut dibolehkan selagi mana patung tersebut tidak diletakkan di tempat mulia, tidak disucikan, dihormati atau bertujuan untuk disembah.
“Bayangkan apabila ia digunakan sebagai bantal, sudah terang lagi jelas menunjukkan tujuannya bukanlah untuk dimuliakan.
“Apatah lagi kadangkala patung berkenaan turut terdedah kepada air liur basi dan lain-lain,” ungkapnya.
Bagaimanapun, andai berlaku situasi sebaliknya iaitu anak patung digunakan sebagai bahan pujaan atau diletakkan di tempat yang dihormati hingga membawa kepada penyucian, tegas pejabat mufti berkenaan, ia jelas haram dan dilarang sama sekali.
“Meskipun demikian, kami mengesyorkan sekiranya boleh, elakkanlah penggunaan patung seperti teddy bear, Minion dan lain-lain sebagai bantal agar tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya.
“Andai boleh diganti (dengan bentuk lain seperti bintang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain) atau ditinggalkan bagi mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah, itu adalah lebih baik dan selamat.
“Ini kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini, ia termasuk dalam perkara yang digalakkan,” terangnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.