Mendasari gaya hidup ‘childfree’ menurut Islam
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
ISTILAH childfree hangat diperkatakan ketika ini yang merujuk kepada bebas anak atau tiada keinginan langsung memiliki anak walaupun sudah berkahwin.
Ia bukanlah isu baharu sebenarnya. Memetik laporan portal cnbcindonesia.com, seorang sejarawan, Rachel Chrastil menyatakan childfree pada era awal tahun 1500-an didefinisikan sebagai para wanita sama ada sudah berkahwin atau belum yang tidak mahu membesarkan anak.
Perkara itu menjadi kelaziman penduduk desa dan kota di Eropah sekitar tahun berkenaan terutamanya kaum Hawa yang memilih untuk berkerjaya berbanding berkahwin muda seperti kebiasaan wanita zaman berkenaan.
Dalam bukunya bertajuk How To Be Childless: A History and Philosophy of Live Without Children, Chrastil menyatakan, gaya hidup tanpa anak meletus di Barat sejak tahun 1970-an lagi.
Trend itu dikatakan kembali popular kini. Ada yang beralasan enggan komitmen anak disebabkan faktor tidak bersedia, kekangan kewangan, kesibukan bekerja dan lain-lain.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan pada Isnin membuat status di laman sosial Facebook supaya masyarakat tidak terpengaruh dengan gerakan Barat yang cuba menjauhkan kita dari jalan agama.
Apakah sebenarnya pandangan Islam berkaitan childfree yang dibuat kerana pilihan sendiri?
Teliti faktor dan sebab
Sinar Islam Plus mendapatkan Pengerusi Jawatankuasa Panel Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Irwan Mohd Subri untuk mengajaknya berdiskusi tentang topik hangat ini.
Jelas beliau, isu childfree tidak boleh sewenang-wenangnya ‘dijatuhkan’ hukum secara mutlak tanpa meneliti terlebih dahulu faktor dan sebab mengapa berlaku sedemikian.
Sekiranya perbuatan itu dilakukan atas dasar kesihatan, kemampuan pasangan tersebut atau sebab dibenarkan syarak, maka pasangan suami isteri berkenaan tidaklah dalam keadaan berdosa.
“Bagaimanapun, andai ia dilakukan kerana mahu bebas daripada tujuan maqasid (objektif) pernikahan itu, maka childfree tersebut pada dasarnya boleh bercanggah dengan maqasid syariah pernikahan,” katanya baru-baru ini.
Ia berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW dalam satu riwayat: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang dan subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang ramai.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Melihat kepada nas itu, Dr Irwan berkata, perilaku tiada keinginan memiliki zuriat tidak menepati sunnah Nabi Muhammad SAW yang menganjurkan umatnya memiliki anak.
Situasi itu berbeza pula dengan pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak.
“Saya percaya setiap pasangan yang mengalami masalah untuk hamil, pasti sudah berusaha berjumpa doktor, kaunselor dan mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat.
“Begitupun, andai kata mereka tidak berusaha ke arah itu pun, ia tidaklah sampai berdosa besar,” katanya.
Bagaimana pula jika pasangan berkahwin mengambil perancang keluarga disebabkan tidak mahu anak atas alasan peribadi bukan berpunca daripada penyakit dan sebagainya?
Menjawab persoalan itu, Dr Irwan menjelaskan, sepertimana yang diperkatakan ketika awal perbincangan tadi, semuanya perlu melihat kepada situasi dan tidak boleh memberikan hukuman secara pukul rata.
Perkara utama yang mesti diperhalusi adalah di sebalik tujuan pengambilan pil mahupun perancang keluarga.
“Seandainya diambil atas faktor dibenarkan syarak seperti atas nasihat doktor supaya menjarakkan kehamilan atas masalah kesihatan, maka diharuskan berbuat demikian.
“Pun begitu, jika ia saja (dilakukan disebabkan) tak mahu anak, ia bertentangan dengan saranan Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang dinyatakan tadi dan beberapa riwayat lain,” tegasnya.
Kelebihan miliki anak
Menyambung hujah, Dr Irwan yang juga Profesor di Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM itu kemudian menyentuh tentang kelebihan apabila memiliki anak.
Antaranya dalam sebuah hadis masyhur ada dinyatakan bahawa anak soleh dan solehah akan mendoakan kebaikan untuk kedua-dua ibu bapanya jika diberi didikan yang betul.
Dalam pada itu, ahli akademik tersebut mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu mudah melabelkan orang yang tidak dikurnakan zuriat sebagai childfree tanpa mengetahui latar belakang suatu pasangan dan masalah dihadapi mereka.
“Sekiranya ada golongan yang jelas mengamalkan childfree kononnya anak sebagai beban dan sebagainya, ingatlah bahawa ada keberkatan ataupun kemakmuran yang bakal diraih daripada anak kurniaan ALLAH SWT walaupun kita perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membesarkan mereka,” hurainya.
Ada sebab mengapa ALLAH SWT menegaskan agar kita tidak membunuh anak-anak kerana bimbang kepapaan sebagaimana dirakamkan dalam ayat ke-31 surah al-Israk, ungkapnya.
“ALLAH SWT sudah menjamin rezeki bagi anak tersebut cuma ibu bapa perlu berusaha untuk mencarinya,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicaranya, Dr Irwan mengajak semua untuk merenung semula maqasid syariah perkahwinan yang menghadirkan rasa sakinah (aman) dan mawaddah (kasih sayang).
Bahkan katanya, Rasulullah SAW juga berbangga apabila rumah tangga umatnya diserikan dengan kehadiran cahaya mata yang bakal mendoakan ibu bapanya kelak.
“Mengertilah semua itu akan membantu kita di dunia mahupun akhirat nanti,” katanya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.