Nafkah: Kewajipan suami kepada isteri
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
MESKIPUN ramai tahu tentang kewajipan nafkah seorang suami kepada isteri, tetapi masih ada orang yang salah faham tentangnya.
Terdapat segelintir orang menganggap, ia bukan sekadar cukup menyediakan makanan, minuman, tempat tinggal dan pakaian, tetapi perlu juga wang saku atau duit poket diberikan untuk perbelanjaan isteri.
Merujuk artikel yang pernah disiarkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama hanya menetapkan tanggungjawab wajib diberi adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan pembantu rumah bagi suami yang mampu.
Demikian perihal penetapan kadar nafkah suami kepada isteri yang diperincikan oleh Imam Khatib Asy-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj.
“Ini menunjukkan bahawa ulama tidak pernah menetapkan kewajipan suami untuk memberi wang poket kepada isteri apabila suami telah memberi nafkah keperluan asas yang cukup kepada isteri.
“Selain itu, pemberian nafkah juga merujuk kepada kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir mengikut kadar ketentuan uruf masyarakat setempat,” katanya katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1916: Adakah suami wajib menyatakan secara khusus nafkah yang diberikan kepada isteri.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah: 233)
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian menukilkan pandangan dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji yang memperincikan tentang kadar nafkah mengikut kemampuan masing-masing seperti berikut:
1. Golongan kaya
Dua cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
2. Golongan sederhana
Satu setengah cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
3. Golongan fakir
Satu cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
“Bagi seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah tamkin.
“Di samping itu, suami juga boleh menukar keperluan nafkah tersebut dengan memberi wang kepada isteri untuk membeli sendiri nafkah keperluannya,” jelasnya.
Seandainya terdapat perjanjian antara suami dan isteri atau ketetapan kadar nafkah secara khusus telah ditentukan oleh hakim, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, suami wajib memberi mengikut kadar yang telah ditetapkan tersebut.
“Ini disebut sebagai nafkah tamlik,” katanya.
Sementara itu, memetik artikel yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri, termasuk dalam pemberian nafkah suami kepada isteri adalah keperluan semasa mengikut uruf masa kini seperti telefon bersesuaian yang menjadi alat penghubung utama ketika ini.
“Para ulama bersepakat, suami wajib memberi nafkah kepada isterinya sekalipun pasangannya itu mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1625: Nafkah kepada isteri.
Dalam perbahasan berkaitan nafkah, menurut Maktabah Albakri lagi, para fuqaha membahagikan kepada tiga golongan suami iaitu senang, sederhana dan susah sebagaimana disebutkan dalam Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie.
Bagi golongan yang susah, katanya, cukup sekadar mengeluarkan nafkah asas seperti secupak beras berserta lauk asas mengikut tradisi setempat.
“Kemudian, sediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai oleh masyarakat setempat sama ada ketika di dalam rumah dan keluar dari kediaman cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat.
“Selain itu, sediakan rumah mengikut kemampuan tanpa disyaratkan untuk memiliki kediaman tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa.
“Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh,” katanya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.
Layari laman web kami www.myqurantime.org untuk tonton semula video-video My #QuranTime 2.0