Rasional minta anak kecil mendoakan kita
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
ACAP kali juga kita mendengar orang lain memohon anak kecil supaya mendoakannya. Bunyinya agak pelik.
Maklum sahajalah, kalau kita boleh menadah tangan sendiri, mengapa pula mahu menyusahkan si cilik yang belum mengerti apa-apa lagi?
Namun begitu, apabila ada pandangan menyatakan, doa anak kecil mudah makbul kerana dirinya masih suci dan tidak terpalit dosa, hati kita mula kendur.
Mungkin perkara itu ada asasnya. Tiada salahnya meminta anak kecil mendoakan buat kita. Bukankah lebih bagus andai ramai yang berbuat demikian untuk diri kita?
Siapa tahu, ada di antara titipan yang dikirim tadi bakal diangkat oleh ALLAH SWT?
Rupanya bukan masyarakat kita sahaja yang meminta anak kecil untuk medoakan mereka. Bahkan, para sahabat Nabi Muhammad SAW juga pernah berbuat demikian.
Perkara itu dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman sosial Facebook miliknya.
Antara sahabat yang dimaksudkan ialah Saidina Umar RA dan Abu Hurairah RA.
Beliau kemudian memetik kata-kata Ibn Rajab: “Sesungguhnya Saidina Umar RA pernah meminta kanak-kanak agar mendoakan keampunan buat dirinya dan dia berkata: Sesungguhnya (jiwa kamu suci) kamu masih tidak berdosa.”
Melihat ungkapan itu, ujar Ahmad Sanusi, jelas bahawa ia menjadi rasional kepada tindakan Saidina Umar tadi.
“Begitu juga tindakan hampir sama pernah dilakukan oleh Abu Hurairah yang mana Ibn Rajab berkata, Abu Hurairah pernah meminta kanak-kanak mengucapkan doa ‘Ya ALLAH, ampunkanlah (dosa-dosa) Abu Hurairah’.
“Sebaik sahaja kanak-kanak tadi memanjatkan doa tersebut, Abu Hurairah lantas mengaminkannya,” coretnya.
Berdasarkan dua contoh para sahabat itu, ahli akademik tersebut menjelaskan, barangkali kesucian jiwa seseorang berupaya menjadi punca sesuatu doa itu mudah dikabulkan.
“Sebab itu mereka meminta kanak-kanak yang masih belum berdosa untuk mendoakan mereka.
“Justeru, sangat wajar juga untuk kita mendidik anak kecil masing-masing yang masih suci hati mereka agar mendoakan kita. Mudah-mudahan berkat doa mereka dan keizinan ALLAH, kita memperoleh keampunan dan dipermudahkan urusan,” ungkapnya.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.