Teladani gaya hidup sihat Rasulullah SAW
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
ISU kesihatan menjadi keprihatinan dalam Islam kerana ia berkait rapat dengan perihal ibadah kepada Maha Pencipta.
Dalam ayat kedua surah al-Jumu’ah, Rasulullah SAW diutuskan untuk melakukan tilawah ayat-ayat ALLAH, tazkiyah (pembersihan) dan mengajar al-Kitab serta al-Hikmah (kebijaksanaan atau sunnah) dalam kehidupan menuju kepada-NYA.
Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al-Safi Ismail menjelaskan, al-Hikmah itu mempunyai hubung kait dengan amalan-amalan kesihatan yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis, Baginda SAW bersabda: “Kesembuhan ada pada tiga perkara: berbekam, minum madu atau selaran besi panas. Aku melarang umatku daripada selaran besi panas.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
“Maksudnya, kalau hendak sembuh, dua perkara ini jangan ditinggalkan iaitu berbekam dan minum madu sebagaimana amalan yang diajar oleh Baginda.
“Bagi saya, pendekatan terbaik adalah menggabungkan perubatan moden dengan amalan pemakanan itu,” katanya pada program Sinar Al-Jumu’ah Khas 2024 bertajuk ‘Amalan sunnah, cegah penyakit kronik’ Jumaat minggu lalu.
Program itu dihoskan Ketua Pagawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Fazrul Ismail dan turut menampilkan qari, Ustaz Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan.
Dr Ab Aziz yang berpengalaman bertugas di fasiliti kesihatan di United Kingdom dan India menjelaskan, menguruskan pesakit diabetes di negara berkenaan lebih mudah kerana sebahagian besar daripada mereka patuh kepada nasihat doktor.
“Mereka melakukan kawalan diet dengan menjaga pemakanan mengikut saranan pakar. Walaupun bukan negara Islam, tetapi amalan yang diajar Islam itu ada pada mereka, sesuai dengan anjuran nas tadi.
“Kita di sini pula terbalik kerana hampir 90 peratus bergantung kepada ubat,” ungkapnya.
Makanan yang baik
Melihat kepada pemakanan Rasulullah SAW, ujar Dr Ab Aziz, antara kegemaran Baginda adalah mengambil roti yang diperbuat daripada barli.
Jelasnya, barli mempunyai indeks glisemik (kaedah mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah) paling rendah, selain kaya dengan serat dan vitamin tinggi.
“Bahkan, Baginda juga mengajar anak Adam supaya makan dengan beberapa kadar suapan untuk menegakkan tulang sulbi (tulang belakang bahagian bawah) dengan satu pertiga masing-masing untuk makanan, minuman dan bernafas.
“Malangnya pada hari ini, kita tidak amalkan begitu. Sebab itulah kita tengok penyakit kronik semakin meningkat,” tuturnya.
Seperkara lagi, Dr Ab Aziz turut menekankan tentang pemakanan yang baik perlu diamalkan oleh masyarakat, selain dari segi halalnya.
“Baik yang dimaksudkan adalah dari segi kandungannya. Sebagai contoh, pada hari ini, gaya hidup kita sudah berubah dan kerana hendak cepat, ramai pilih makanan segera seperti burger, hot dog dan sebagainya sedangkan ia tak bagus.
“Ini kerana daging digunakan mungkin dari kualiti tidak bagus, disimpan lama, guna pengawet dan pewarna untuk menampakkan kesegarannya. Itulah yang dimaksudkan dengan tayyiban (baik).
“Begitu juga dengan yang import, makanan proses lain, makanan dalam tin dan seumpamanya yang banyak bahan pengawet, pemanis dan pewarna. Ketiga-tiga bahan ini antara faktor menyebabkan kanser meningkat dan penyakit kronik yang disebut tadi,” katanya.
Pemikiran positif
Meskipun seseorang sudah didiagnosis dengan penyakit kronik, masih belum terlambat untuk mereka memperbaiki dan mengubah gaya hidup serta menjaga pemakanan masing-masing.
Paling penting katanya, kawal diri daripada menjamah sajian karbohidrat bertapis (refined carbohydrates), mempunyai pengawet dan makanan terproses.
Kepada satu soalan, Dr Ab Aziz menjawab: “Badan, pemikiran dan roh perlu ada keseimbangan. Jika tidak, penyakit akan berterusan.
“Misalnya, penghidap kanser jika pemikirannya negatif, imuniti badannya akan turun dan dengan sendirinya akan menjemput penyakit-penyakit lain.
“Sebaliknya, mereka yang berpandangan positif, dia menganggap sakit itu sebagai ujian dan terus mencari ikhtiar. Ikhtiarnya adalah dengan menukar pemakanan dan gaya hidup serta terus berpandangan positif dan tiada elemen emosi yang negatif. Dengan pengharapannya itu, insya-ALLAH dia boleh sembuh walaupun menghidap kanser tahap empat.”
Sebelum menokhtahkan bicara, beliau mengingatkan, sakit merupakan ujian daripada ALLAH SWT untuk mendekatkan kita kepada-NYA dan mendapatkan pengampunan-NYA.
Seharusnya kita bersyukur dan pada masa sama bersikap positif kerana ALLAH SWT yang menurunkan penyakit dan DIA jualah pemberi kesembuhan sekelip mata jika berkehendakkan, ujarnya.
“Ingatlah, apa jua profesion kita, buka ruang pemikiran untuk kekal sihat dan jangan lupa apa yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW dari segi pemakanan, penjagaan kesihatan dan sebagainya.
“Jika kita gabungkan semua itu dan tidak berpegang kepada satu aliran sahaja (untuk ikhtiar rawatan) kerana pengalaman saya sepanjang 26 tahun di hospital, rupanya perubatan moden saja tidak mencukupi untuk kita kekal sihat dan bebas daripada penyakit. Kita mesti gabungkan dengan sunnah Rasulullah,” titipnya.
Untuk mengikuti kesinambungan tentang topik itu, sila tonton di sini: https://www.facebook.com/share/v/UQ51XWExEzpYyVQQ/, program Wellness #QuranHour yang telah diadakan di Masjid Darul Ehsan, SS15, Subang Jaya, Selangor pada 21 September 2024 lepas.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.