‘Tidak sangka majlis nikah serentak Malaysia #QuranHour 2024’
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
PUTRAJAYA – Dua pasangan pengantin tidak menyangka majlis akad nikah mereka berlangsung serentak dengan penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Syed Mohd Azlan Shah Syed Muhammed Yussuf, 30, berkata, dia dan isterinya telah menetapkan tarikh mereka di lokasi berkenaan sejak Oktober tahun lalu sebelum dimaklumkan oleh pihak masjid mengenai program tersebut.
Ujarnya, program seperti itu menambah keberkatan dalam penganjuran majlis ijab kabulnya.
“Pihak masjid beri kami pilihan sama ada (majlis akad nikah) diawalkan satu jam iaitu jam 9 pagi atau buat pada jam 3 petang.
“Kami pilih jam 9 pagi. Sebab itu bertembung dengan program Malaysia #QuranHour kali ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Syed Mohd Azlan Shah yang berasal dari Sarawak itu berkata, sepatutnya terdapat tiga pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan pada pagi ini.
Bagaimanapun, satu lagi pasangan memilih untuk melangsungkan majlis akad nikah mereka pada slot petang iaitu selepas waktu solat Jumaat.
Dalam pada itu, pasangan kedua, Muhammad Anas Rahim, 25 dan isterinya, Zawanah Zahid, 25 memaklumkan mereka turut menerima panggilan daripada pihak pengurusan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mengubah tarikh majlis akad nikah.
Ulas Muhammad Anas, mereka memutuskan untuk meneruskan acara berkenaan berikutan kekangan masa yang dihadapi oleh ahli keluarganya.
“Lebih kurang dua minggu sebelum majlis, pihak pengurusan Masjid Besi ada hubungi kami mengenai pertukaran tarikh.
“Masa itu, keluarga dua belah pihak terkejut dengan makluman tersebut. Tetapi oleh kerana masing-masing mempunyai kekangan dan ada sudah ambil cuti, jadi kita pilih untuk teruskan majlis ini mengikut waktu yang ditetapkan,” menurutnya
Program Malaysia #QuranHour 2024 diadakan serentak di seluruh negara pada hari ini di bermula jam 10 hingga 11 pagi.
Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dipilih sebagai lokasi utama Malaysia #QuranHour 2024 yang bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.