Tujuh anggota, tujuh syarat sah sujud
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
BERBICARA bab solat, pelbagai aspek perlu diambil kira bagi melaksanakan Rukun Islam kedua itu termasuklah syarat wajib solat, syarat sah solat, perkara membatalkan dan sebagainya.
Bagaimanapun, kadangkala ada perkara yang kita terlepas pandang termasuk perkara-perkara yang kecil dalam solat, namun besar impaknya sehingga boleh mencacatkan malah membatalkan sembahyang.
Salah satunya adalah syarat sah sujud. Adakalanya kita sendiri melihat jemaah tidak melakukan perkara tersebut dengan baik termasuklah melipatkan jari kaki ketika sujud.
Menyentuh mengenai syarat sah sujud, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, merujuk kepada kitab Buhairah al-Azhar Syarah Matan Safinah an-Najah, anggota sujud mempunyai tujuh iaitu dahi, semua jari kedua-dua tapak tangan, dua lutut dan semua jari kedua-dua tapak kaki.
Menurutnya, Ibnu Abbas RA meriwayatkan: “Telah diperintahkan Nabi SAW bahawa sujud merangkumi tujuh anggota. Dan dahi yang tidak ditutupi rambut atau pakaian serta dua tangan dan dua lutut serta dua kaki.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Katanya, hadis ini menjadi dalil bahawa anggota badan ketika sujud itu ada tujuh seperti yang disebutkan dan ia dinamakan sebagai anggota sujud.
“Apa yang dimaksudkan dengan dahi itu ialah sekurang-kurangnya kena sedikit dari bahagian dahinya ke bumi ketika sujud sama ada bahagian tengah atau tepi dahi.
“Tetapi tidak memadai sujud dengan tepi kepala sebelah kanan atau kiri dahi yang disebut sebagai pelipis dan afdal adalah sujud dengan hadapan dahinya,” jelasnya dalam Facebooknya baru-baru ini.
Tambahnya, apa yang dimaksudkan dengan dua lutut itu ialah kena pada bumi satu juzuk daripada kedua-dua lututnya.
“Dua tapak tangan pula perlu kena pada bumi satu juzuk daripadanya sama ada bahagian bawah tapak tangan atau atasnya dan afdal adalah kena sekalian tapak tangan dan sekali perut jari tangannya ke bumi.
“Dan dua kaki bermaksud dilipatkan tapak kakinya biar sampai perut anak jari kakinya kena pada lantai,” hurainya.
Berbeza dengan hidung katanya, adapun hidung ia sunat dikenakan ketika sujud seperti dahi, namun jika kena dahinya sahaja, maka sujudnya itu sah.
“Tetapi jika kena hidungnya sahaja dan tidak kena dahinya pada lantai, maka sujud itu tidak sah.
“Maka wajib ketika sujud orang yang solat itu mengenakan tujuh anggota ini pada bumi dan jika kurang satu sahaja dari tujuh anggota yang kena pada bumi nescaya tidak sah sujudnya maka wajib dia ulangi sampai sekelian tujuh anggota ini kena pada bumi dan jika tidak dia ulangi maka batal solatnya,” jelasnya.
Menurutnya, antara hikmah diperintahkan sujud dengan muka pada bumi itu adalah kerana merendah diri dan merasa hina di hadapan ALLAH Yang MAHA MULIA.
Ujarnya, tidak diwajibkan terbuka sekalian anggota sujud yang tujuh itu melainkan dahinya sahaja.
“Maka tidak sah sujud dalam keadaan dahi berlapik dengan sesuatu yang dipakainya seperti songkok, kopiah, serban, lengan baju, tudung atau telekung,” katanya.
Sementara itu, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam laman webnya www.maktabahalbakri.com melalui artikel #4991: Syarat-Syarat Sujud menjelaskan, terdapat tujuh syarat sujud ketika solat iaitu:
1 – Sujud di atas tujuh anggota.
2 – Dahi perlulah tidak tertutup.
3 – Menekapkan kepala pada tempat sujud.
4 – Tidak boleh sujud dengan niat lain ketika sujud.
5 – Tidak boleh sujud di atas sesuatu yang bergerak dengan pergerakan dirinya.
6 – Kepala harus lebih rendah dari punggung.
7 – Tamakninah ketika bersujud.
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.
Layari laman web kami www.myqurantime.org untuk tonton semula video-video My #QuranTime 2.0